Pendatang Guna Ilmu Penunduk Kikis Mangsa



Pendatang guna ilmu penunduk kikis mangsa

Mereka masuk ke negara ini secara sah. Memiliki pasport dan permit kerja. Nawaitu asal mahu mencari rezeki lebih lumayan berbanding di negara asal. Namun sebaik bertapak di sini, segelintir wanita pekerja asing menyedari pendapatan mereka boleh dilipat ganda dengan menggunakan kemahiran menggoda lelaki tempatan, termasuk bos di tempat kerja.

Menyedari kehadiran ke negara ini sekadar mengumpul wang sebanyak mungkin sebelum kembali ke negara asal bagi menjalani kehidupan lebih selesa pada masa depan, mereka nekad melakukan kegiatan maksiat itu dengan matlamat `kikis sampai licin'.

Ikuti temubual wartawan dengan dua pekerja wanita dari Indonesia dan Vietnam dan pengalaman seorang lelaki tempatan yang menjadi `mangsa' gadis pisau cukur berkenaan.

KES 1

"Sejujurnya , ketika tiba di Malaysia tiga tahun lalu, niat saya cuma mahu bekerja di kilang dan menghantar sebahagian duit gaji kepada keluarga di Indonesia. Saya gembira dengan pendapatan hasil kerja kilang di Bangi (Selangor) yang lumayan. Gajinya lebih tiga kali ganda berbanding kerja sama di negara saya," kata Nirwati.

Gadis berusia 21 tahun berasal dari Lombok ini berkata, faktor gaji juga menyebabkan dia tidak kesah apabila sering diminta beberapa penyelianya supaya bekerja lebih masa walaupun sehingga 12 jam sehari, terutama apabila permintaan terhadap produk elektronik keluaran kilang itu meningkat.

Sikap rajin dan tidak pernah berkira dengan kerja tambahan menyebabkan Nirwati disenangi bosnya, apatah lagi dia turut memiliki perwatakan menarik dan paras rupa menawan, selain keletah dan manja.

Bagaimanapun, daripada beberapa bos yang menyelianya, Malik lebih menunjukkan minat terhadapnya. Malah, Nirwati senang berborak kosong dengannya pada waktu rehat atau jika ada masa terluang walaupun menyedari Malik yang berusia awal 30-an memiliki isteri dan tiga anak.

Dari situ, hubungan mereka makin rapat. Bermula dengan sekadar berhibur dipusat dangdut di ibu kota pada hujung minggu, hubungan itu berlarutan di tempat tidur.

Bagi Malik, hubungan terlarang itu dianggap sekadar suka-suka tetapi tidak kepada Nirwati. "Seperti kebanyakan `orang seberang', kedatangan saya ke Malaysia bukan dengan `tangan kosong'. Saya akui belajar sikit ilmu penunduk ketika di Lombok dan menggunakannya untuk `mengikat' Malik kerana syak dia menjalin hubungan dengan saya sekadar suka-suka, bukan secara serius.

"Jadi, daripada `kosong', biar hubungan itu ada imbuhan, lagipun kedatangan saya ke sini pun kerana mahu mencari wang kan...," katanya

Penggunaan ilmu hitam, ditambah dengan keasyikan belaian manja gadis kilang warga asing itu, menyebabkan Malik lupa anak isteri.

Nirwati berkata, `kenakalan' Malik yang kerap menggoda anak buahnya menjadi bahan bualan dalam kalangan pekerja kilang, menyebabkan mereka jarang berbual atau bermesra di tempat kerja bagi mengelak hubungan terlarang itu dihidu.

"Hanya teman rapat saya tahu mengenai hubungan intim kami. Orang lain pula menyangka hubungan kami hanya antara pekerja dengan bos, tidak lebih daripada itu," katanya.

Selepas hampir enam bulan, hubungan mereka makin serius hinggakan Malik kerap bermalam di bilik sewa Nirwati.

"Dia lupa pada anak dan isteri. Baginya, hanya saya `isterinya' kerana kami bebas melakukan apa saja yang pasangan suami isteri lakukan," katanya.

Kesempatan itu digunakan Nirwati untuk mengikis bos miang berkenaan sampai licin.

"Apa saja kehendak saya - wang, barang kemas, pakaian - akan dipenuhi, asalkan saya pintar melayaninya, terutama di ranjang," katanya.

Nirwati mengakui hanya berpura-pura menyayangi lelaki itu semata-mata kerana wang. "Setiap bulan, hampir semua wang gaji Malik dilambak pada saya. Saya bangga dapat menundukkannya kerana hasil pemberiannya membuatkan saya mampu menghantar ribuan ringgit ke kampung setiap bulan, selain berbelanja mewah," katanya.

Hampir setahun menjalin cinta terlarang dan pernah sekali menggugurkan kandungan, akhirnya hubungan itu dihidu isteri Malik, menyebabkan wanita itu berang.

"Isterinya pernah datang ke kilang dan cuba menyerang saya kerana menuduh ada hubungan sulit dengan suaminya. Sebagai ketua, sudah tentu Malik menafikan sekeras-kerasnya serta menyebelahi saya. Malah, kejadian itu sampai ke pengetahuan bos besar berketurunan Jepun," katanya.

Bagaimanapun, katanya, majikan berkenaan tidak mengambil keras terhadapnya, cuma ditukarkan ke unit lain, menyebabkan hubungan mereka berjalan seperti biasa.

Menyedari Malik hampir `pokai' selepas menjalin hubungan dengannya lebih setahun, Nirwati membuat perancangan baru iaitu berjinak- jinak dengan seorang lagi bos di sebuah kilang lain di Petaling Jaya.

"Kami berkenalan ketika saya menghadiri temuduga untuk menjadi operator pengeluaran di kilangnya. Ketika itu, kontrak kerja saya dengan kilang lama hampir tamat dan tawaran gaji di kilang baru pula lebih tinggi.

"Selepas temuduga itu, bos baru berkenaan kerap menghubungi saya. Mulanya sekadar bertanya khabar tetapi lama-kelamaan saya menyedari dia ada hati terhadap saya, menyebabkan saya bersetuju keluar dengannya.

"Pangkat kekasih baru saya lebih tinggi daripada Malik, tentunya gajinya lebih banyak. Ini menyebabkan saya mencari peluang dan alasan untuk meninggalkan Malik yang poketnya sudah kering," katanya.

Begitupun, katanya, dia perlu mengikis wang Malik buat kali terakhir sebelum memutuskan hubungan mereka.

"Akhirnya saya dapat akal. Saya membohongi Malik dengan menyatakan saya hamil tiga minggu dan mahu pulang ke Lombok dalam masa terdekat untuk menggugurkan janin sebelum kandungan itu membesar. Saya juga beritahu, ibu saya di kampung sakit tenat dan perlukan wang RM30,000 untuk berubat," katanya.

Muslihatnya menjadi apabila Malik sanggup memenuhi hasratnya dengan memohon pinjaman peribadi dengan bank dan selepas menunggu hampir sebulan, pinjaman diluluskan lalu semua wang berkenaan diberi kepadanya.

Beberapa hari selepas mendapat wang berkenaan, Nirwati berpindah ke Petaling Jaya, sekali gus memutuskan hubungan dengan Malik.

Walaupun berpindah di kilang lain, dia masih berhubungan dengan rakan di kilang lama dan mereka menyatakan Malik dibuang kerja kerana menghadapi masalah peribadi, selain turut dikejar ceti haram serta gagal melunaskan hutang bank, sekali gus diisytihar muflis. Lebih malang, isteri dan anak pulang ke kampung dan meninggalkannya.

"Itu bukan salah saya. Dia yang cari dan menjalin hubungan intim dengan saya. Tentu saya tidak akan berikan `khidmat cinta' itu secara percuma," katanya tanpa kesal.

Tauke jadi `sugar daddy'


KES 2


Bangi: Matlamatnya mahu bergelar bos selepas membuka salun kecantikan di negara asalnya, Vietnam. Untuk itu, Vionne sanggup memerah keringat melakukan dua kerja serentak sejak tiba di Malaysia, 10 tahun lalu. Siangnya dia bekerja di sebuah kilang elektronik, namun menjelang

malam wanita berusia awal 30-an ini bergegas ke sebuah restoran mewah di sini untuk bertugas sebagai pelayan.

Walaupun mengakui penat, Vionne menganggap Malaysia sebagai lubuk emas kerana hasil daripada kedua-dua kerja itu membolehkan dia memperoleh antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

Menyedari masih banyak modal diperlukan untuk mencapai cita-citanya membuka salun kecantikan, dia sanggup melakukan satu lagi kerja yang mampu menggandakan pendapatan bulanannya, iaitu menjadi perempuan simpanan sejak enam tahun lalu.

"Sugar daddy' saya sebenarnya tauke restoran tempat saya bekerja pada waktu malam! Pada mulanya saya sekadar diajak menemaninya berhibur di kelab malam dan pusat hiburan untuk meraikan rakan perniagaannya.

"Selepas menemaninya berhibur, dia beri upah lumayan. Ini menyebabkan saya tidak melepaskan peluang untuk menemaninya lagi setiap kali diajak," katanya.

Kata Vionne, disebabkan kerap bersama keluar berhibur, hubungan mereka menjadi rapat, malah acap kali berakhir di tempat tidur.

"Tauke pula tak lokek memberi wang setiap kali kami bersama. Cakap saja berapa, pasti dia beri. Akhirnya dia mencadangkan saya menjadi perempuan simpanannya selain kerja di restoran secara sambilan bagi mengaburi mata isterinya terhadap hubungan kami.

"Sudah tentu saya tak akan menolak tuah kerana dengan cara itu, saya dapat mengikis wangnya sebanyak mungkin. Sebagai perempuan simpanan, pendapatan saya mewah kerana saya memberi layanan istimewa kepada lelaki berketurunan Cina itu," katanya.

Walaupun pendapatannya melebihi RM10,000 sebulan, Vionne tetap meneruskan kerja sebagai operator pengeluaran kerana permit kerjanya hanya membenarkan dia bekerja di sektor perkilangan.

"Sebenarnya kalau tidak mahu kerja kilang pun saya boleh hidup mewah dengan hanya menjadi perempuan simpanan.

"Yang penting, gaji kerja kilang tidak pernah diusik kerana semuanya dihantar ke kampung saya di Phnom Penh.

"Begitu juga gaji kerja sambilan di restoran yang turut disimpan untuk masa depan," katanya yang fasih berbahasa Melayu kerana sudah lama bekerja di Malaysia.

Menurutnya, dia tidak berhasrat meninggalkan kedua-dua kerja itu dan menjadi perempuan simpanan selagi sasarannya mengumpul wang sebanyak RM500,000 tercapai.

"Di Vietnam, modal untuk membuka salun kecantikan agak besar. Lagipun saya bercita-cita membeli rumah dan kedai sebelum memulakan perniagaan," katanya.

~ MA


Informasi dikongsi oleh

Comments
0 Comments

0 comments:


1)SILA KLIK BUTTON LIKE DIBAWAH
2)SELEPAS LIKE, KLIK SUPPORT US! UNTUK TERUSKAN...





Powered By IMuslimNetwork
Support Us!