
MARANG - "Sebaik sahaja tersedar daripada tidur, saya lihat ada lelaki
separuh bogel memakai topeng ‘Zorro’ berada atas badan. Saya cuba menjerit namun
mulut saya penuh dengan cecair seperti minyak dan ditutup,” kata mangsa, seorang
pelajar berumur 17 tahun.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu,
pelajar terbabit mendakwa lelaki separuh bogel itu telah memasukkan cecair
seperti minyak dipercayai telah dicampur bahan lain ke dalam mulutnya agar dia
tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun lelaki yang tidak memakai seluar itu
tidak sempat berbuat apa-apa apabila bapa pelajar terbabit juga tersedar
daripada tidur lalu memeriksa bilik anak perempuannya sebelum menyergah lelaki
itu yang kemudiannya melarikan diri.
Menurut mangsa, lelaki terbabit
hanya sempat mengambil telefon bimbit miliknya dan bersyukur kerana tidak
diapa-apakan.
Namun mangsa yang tinggal di Kampung Tok Renek itu masih
trauma dan tidak dapat melupakan kejadian menimpanya.
“Nasib baik lelaki
itu tidak sempat bertindak ganas dan saya bersyukur kerana kejadian disedari
bapa, namun saya tidak akan dapat melupakan kejadian itu sampai bila-bila, malah
masih berasa takut seolah-olah dia akan datang semula.
“Keluarga juga
risau kejadian berulang dan mereka sudah membuat laporan polis di Balai Polis
Bukit Payung di Marang dan kami berharap lelaki itu akan dapat diberkas dengan
segera” katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Ketua
Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi
semalam, mengesahkan menerima laporan dan menurutnya, kes berkenaan masih dalam
siasatan serta disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Dalam pada
itu, difahamkan lelaki separuh bogel dipercayai mengalami masalah mental itu
juga digelar sebagai ‘orang minyak’ oleh penduduk kampung kerana sering
berkeliaran di sekitar Bukit Payung dan Padang Midin, Kuala
Terengganu.
Malah, kelibat lelaki tanpa seluar itu berjaya dirakam
penduduk di kawasan berkenaan dan diedarkan kepada umum melalui laman facebook,
whatsApp dan media baru lain termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat
di kawasan Bukit Payung, di sini.
Kejadian itu juga menyebabkan JKKK
Padang Midin dan Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu
menubuhkan satu pasukan rondaan di kawasan kampung berkenaan.
Menurut
Pengerusi JKKK Padang Midin, Razali Shahul Hamid, rondaan di kawasan kampung
bermula pada jam 12 malam hingga 6 pagi setiap hari dan disertai ahli
jawatankuasa belia BBest serta penduduk kampung tersebut.
“Rondaan ini
telah dijalankan sejak dua tahun lalu dan kita adakan dengan lebih giat selepas
beberapa siri kejadian membabitkan lelaki dipercayai kurang siuman yang digelar
sebagai orang minyak itu dikatakan mula berkeliaran termasuk di Tok
Renek.
“Tok Renek masih di bawah pentadbiran JKKK Padang Midin. Kampung
ini terletak di sempadan kawasan polis Kuala Terengganu dan Marang, jadi kami
akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu dua pihak berkuasa itu memberkas
lelaki terbabit,” katanya.
Read more