APABILA MASALAH DISELESAIKAN DENGAN MENCIPTA MASALAH



APABILA MASALAH DISELESAIKAN DENGAN MENCIPTA MASALAH

Terlalu banyak berita panas yang berkaitan dengan kekalutan rumah tangga tersiar di media hari demi hari. Antara berita paling panas semalam ialah isteri 30an yang ditemui bogel dalam rumah bersama teman lelakinya,19. Kedua duanya ditetak dan tangan lelaki itu hampir putus lalu suaminya ditahan polis. Satu lagi berita paling panas ialah isteri yang nekad memotong kemaluan suaminya yang sedang tidur sampai putus, hanya kerana isu poligami. 

Semua ini menunjukkan bahawa umat ini sedang berada dalam suasana yang amat panas (ramadh). Bersesuaian dengan ketibaan ramadhan ini maka eloklah kita berpuasa pada hakikat yang sebenar benarnya. Kali ini kami ingin kongsikan apakah yang harus kita puasakan selain dari makan dan minum yang muhkamat itu.

PUNCA KEKALUTAN UMAT 

Kecelaruan hidup adalah akibat dari kepincangan peraturan yang kita gunakan. Contohnya jika lampu isyarat tidak diguna di simpang empat yang sibuk, pasti para pemandu akan panas hati bila ingin melintas di persimpangan itu. Lebih panas lagi jika penggiliran lampu isyarat itu tidak adil atau ia tidak dipatuhi oleh pengguna jalanraya, pasti sering berlaku kemalangan pula. 

Begitu juga halnya dengan aturan agama dalam hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Apa yang berlaku hari ini telah menjadi tanda bahawa ada kepincangan dalam cara hidup kita buat sekian lamanya. Tidak habis habis kita dengar isu suami yang tidak bertanggungjawab, tidak pedulikan atau tidak adil terhadap anak isteri, juga isteri yang ingkar atau mengongkong suami, dan anak yang tidak menghormati orang tua. 

Kesejahteraan dan keharmonian dalam hidup berkeluarga itu adalah gambaran syurga. Itulah “Rumahku SyurgaKu”. Ia hanya boleh dikecapi jika kita semua mempunyai peraturan yang baik dan saksama, di mana masing masing merujuk dan mematuhinya dengan redha dan sempurna. 

Aturan mengguna dan memelihara kereta Mercedes yang terbaik pastinya yang dibekalkan oleh Mercedes. Demikian juga peraturan hidup yang paling baik untuk diguna oleh manusia pastinya manual yang dibekalkan oleh Allah Pencipta kita. Tidak mungkin Mercedes boleh berfungsi dengan baik jika kita menggunakan manual Proton. Tidak mungkin juga kita akan sejahtera jika menggunakan peraturan yang diberikan oleh syaitan atau yang kita suka suka buat sendiri.

JALAN PENYELESAIAN


Sebagai umat Islam, kita semua tahu akan manual kehidupan dari Allah itu adalah yang terbaik. Tetapi kita sentiasa keberatan untuk mematuhinya dengan sempurna. Pada masa yang sama kita kata kita takutkan Allah, kita ini HAMBA Allah. Itulah punca dari segala kekalutan hidup kita dalam berkeluarga bermasyarakat dan bernegara. 

Daripada gejala sosial, zina, buang bayi, perceraian, jenayah, kekalutan politik sampailah peperangan saudara sudah menjadi biasa bagi kita. Ironinya, kita tidak pernah serik dan masih lagi mahu kekal dengan cara hidup lama yang kita buat sendiri atau yang disarankan oleh syaitan syaitan di sekeliling kita. Manual kehidupan dari Allah kita nafikan buta buta sahaja.

Dalam artikel semalam ada yang mengatakan seolah olah zaman dahulu, sebahagian dari kita atau orang tua kita tidaklah nampak macam Islamik sangat. Akademik tidak setinggi mana. Mereka tidak pakai mini telekung dan jilbab pun. Pergi sekolah pun selamba saja pakai skirt, tiada baju kurung pun. Artis zaman itu juga tidak kurang seksinya. Tetapi tidak pula dilanda pelbagai masalah seperti kita?

Sekarang ini nampak zahirnya sangat Islamik kata seorang pembaca. Di samping buku dan kitab yang banyak diterbitkan, banyak pula majlis ceramah di sana sini, banyak juga yang dirakam dan dipaparkan percuma di internet. Pelajar sekolah semua pakai baju kurung dan bertudung lingkup. Ustaz, Pak Haji, dan orang alim yang berijazah sangat ramai. Masjid juga banyak dan canggih belaka.

Hasil dari kajian kami berdasarkan kronologi jatuh bangunnya agama ini sejak dari kewafatan nabi SAW hingga kini ingin kami kogsikan. Secara logiknya kita semua tahu memang kegemilangan Islam itu telah lama luput dari kita. Semua gambaran tentang berakhirnya zaman kegemilangan itu telah Nabi SAW lakarkan dalam himpunan hadis akhir zaman. Semuanya telah jelas berlaku di depan mata kita. Generasi sebelum kita tidak begitu banyak gejala hanya kerana sedikit sebanyak lajakan agama dan kekangan adat sahaja. Hari ini semuanya sudah hilang fungsinya. Kerana itu kita jadi semakin hari semakin teruk.

Untuk kembali sejahtera dan menghapuskan semua kekalutan dan kesesatan ini, kita tiada pilihan melainkan kembali semula kepada aturan hidup kurniaan Allah. Untuk tidak sesat selama-lamanya, telah nabi SAW wasiatkan agar kita berpegang teguh kepada Quran dan Sunnah. Kita wajib mematuhi titah perintah quran sepertimana yang telah ditauladankan oleh sunnah baginda.

Antara yang nyata telah kita ingkari dan perlu dipatuhi semula ialah saranan agama agar lelaki bersikap qowwam, tegas dan berilmu untuk memimpin keluarga (qs:4/34). Isteri dan anak nisak seharusnya kekal dirumah. Jika terpaksa keluar dan berhubungan dengan umum wajib menutup aurat, menjaga pergaulan dan ditemani oleh mahramnya. Anak dan Isteri diwajibkan taat pada suami/ayah mereka dan tidak berhak untuk berkecil hati atau berkata ‘ah’ selagi mereka tidak mendustakan agama.

Banyak telah nabi SAW jelaskan tentang golongan yang tidak akan mencium bau syurga. Antaranya ialah Lelaki yang dayus, iaitu tidak cemburu dengan anak isterinya, yang lalai dan tidak berilmu, tidak tegas untuk memastikan anak dan isteri mematuhi aturan Allah. Begitu juga isteri yang menuntut cerai, yang nusyuz terhadap suami dan anak yang derhaka terhadap ibu bapanya.

KESIMPULAN 

Dalam kedua dua kes yang dijadikan asbab artikel kali ini, jelas sekali tindak tanduk jahiliyah pada kedua duanya. Masalah telah diselesaikan dengan mencipta masalah lain. Itu tandanya kita semua sedang dikuasai emosi yang berdasarkan regim jahat syaitan.

Isteri yang terdidik dengan baik tidak akan tergamak memotong kemaluan suaminya biar setinggi mana kemarahannya. Kita tidak tahu apa lagi masalah di sebalik kemarahan sang isteri dalam kes ini. Namun terlalu banyak juga kes suami yang lalai, tidak adil atau tidak bertanggungjawab sedari awalnya. Terlalu banyak isteri dan anak anak yang teraniaya akibat dari poligami yang tidak menepati sunnah dalam mengendalikan keluarga.

Bagi kes isteri yang berselingkuh sedemikian rupa juga jelas sifat jahil kedua dua belah pihak. Sebelum ini pun telah banyak kami kongsikan hasil iqra’ dalam isu seperti ini. Suami seharusnya proaktif mendidik isteri dan anak-anak. Ramai suami yang terlalu percayakan isteri dan anak nisak sehingga mereka berpeluang untuk melakukan perselingkuhan. 

Hari ini batas aurat dan bergaulan dengan bukan muhrim sudah tidak dihududkan sejak awal. Padahal telah dijelaskan dalam quran bahawa pergaulan sesama mahram lagikan ada batasnya. Jika tidak dipatuhi maka ramailah ayah yang memperkosa anaknya, abang perkosa adik, datuk mencabul cucu bahkan beberapa hari lepas ada nenek yang dihamilkan oleh cucunya.. Nauzubillah.

Inilah hakikat neraka yang sedang melanda suami. Siapapun tidak boleh menafikan tahap marah dan merananya sang suami melihat isterinya berselingkuh, berbogel dengan lelaki lain. Ditambah pula dengan neraka penjara apabila tindakan menghukum tidak mengikut salurannya. Ini juga neraka dunia bagi isteri yang berselingkuh dan mencederakan suami. Kebahagiaan rumahtangga hilang sekelip mata. 

Masihkah lagi kita berani melanggar aturan Allah? masih mahu guna cara hidup syaitan atau ikut suka hati kita lagi? Jika demikian maka jelaslah kita memang ingin terus menzalimi diri dan keluarga kita. Jika masih ada yang terselamat dengan cara sendiri dalam satu sudut, pasti akan terjerumus di sudut yang lain. Jika masih selamat juga dengan cara kita, maka itu bukan satu jaminan, tetapi satu kebetulan. Yang terjamin keselamatannya ialah dengan mengikut aturan hidup pemberian Allah.

Mari berpuasa dari menelan segala sajian makanan dari syaitan. Mari bekukan dahulu cara kita, dan kita alirkan sungai ilmu dan perlaksanaan petunjuk dari Allah dalam rumah kita, agar ia benar benar menjadi syurga berupa taman taman ilmu. Mari kita tundukkan, sujudkan pokok pendirian kita kepada petunjuk Allah. Semuga api kepanasan (ramadh) ini tidak lagi memanaskan hati dan menyakitkan jiwa kita. 

Sempena Ramadhan nanti banyakkan membaca dan memahami alquran. InsyaAllah lailatulqadar akan menjelma dan kita akan kembali fitrah semula.

QS:36. Yaasiin 6. “Agar kamu memberi peringatan kepada kaum yang bapak-bapak mereka belum pernah diberi peringatan, karena itu mereka lalai.” 

Tips Munakahat,WARGA PRIHATIN


Informasi dikongsi oleh

Comments
0 Comments

0 comments:


1)SILA KLIK BUTTON LIKE DIBAWAH
2)SELEPAS LIKE, KLIK SUPPORT US! UNTUK TERUSKAN...





Powered By IMuslimNetwork
Support Us!