Jenayah: Kaedah Hipnosis Perangkap Mangsa



Peningkatan kejadian jenayah dengan pelbagai modus operandi pastinya membimbangkan pelbagai pihak. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan cerita kononnya ada penjenayah dari negara jiran menggunakan hipnotis sebagai cara memerangkap mangsa. Malah, difahamkan, jenayah menggunakan hipnotis ini sudah berlaku di Malaysia dan Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jenayah menggunakan kaedah hipnotis banyak berlaku di sebuah negara jiran kerana ilmu berkenaan mudah, murah dan cepat dipelajari, sehinggakan banyak kes mangsa dihipnotis hanya melalui telefon.

Di Malaysia, kaedah hipnotis lebih popular dengan nama hipnosis dan kebanyakan orang menganggap hipnosis dan pukau adalah perkara yang sama walaupun sebenarnya ia berbeza.

Walaupun jenayah hipnosis ini semakin meningkat di Malaysia, ia tidak dilaporkan. Penjenayah menjadikan lokasi tumpuan awam seperti perhentian bas, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mencari mangsa.

Mangsa dilihat secara sukarela mengeluarkan dan kemudian menyerahkan sendiri wang dan barang berharga kepada penjenayah hipnosis. Lebih mengecewakan, tidak ramai yang mahu melaporkannya kepada polis disebabkan 'kerelaan' sendiri.

Sudah tiba masa masyarakat didedahkan mengenai bahaya modus operandi baru penjenayah kerana tidak seperti kes samun, ragut dan rompak, mangsa langsung tidak menyedari dirinya dirompak sehinggalah selepas satu tempoh atau disedarkan oleh orang lain.

Pakar Matematik Gunaan, Prof Madya Abdul Hamid Yeop Zainuddin, dalam seminar berkaitan hipnotis bertajuk 'Melihat Tanpa Dilihat' di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, baru-baru ini, berkata hipnotis, hipnosis dan hipnoterapi berasal daripada perkataan hypno yang bermakna tidur dan terapi bermakna rawat.

"Hipnoterapi adalah rawatan yang memerlukan pesakit ditidurkan. Hipnotis atau hipnosis adalah proses 'menidurkan' subjek, sama ada manusia atau binatang. Tidur dalam kaedah ini bukan seperti tidur biasa difahami awam, tetapi tidur dalam keadaan yang masih sedar.

"Menerusi kaedah ini, pesakit masih boleh berkomunikasi dengan orang di sekelilingnya walaupun sedang tidur. Pesakit boleh mendengar, melihat atau merasa. Dalam bahasa mudah, seperti sedang bermimpi, tetapi dalam mimpi itu kita sedar, kita tahu kita sedang bermimpi. Ramai yang pernah bermimpi kencing, tetapi apabila tersedar memang betul-betul kencing! Penggunaan hipnosis amat penting dalam bidang perisikan, pemantauan dan pengesahan maklumat," katanya dalam satu pertemuan dengan BH, baru-baru ini.

Ramai menyangka ilmu hipnosis dipelopori Barat, sedangkan ia adalah ilmu yang dicipta dan dikembangkan orang Islam ketika Tamadun Arab dan selepas itu dibawa dan diterjemahkan ke bahasa Latin.

Kaedah hipnosis


Dalam pengajian Melayu dan Arab, hipnosis dipanggil 'Kaedah Tidur' yang dikatakan berasal daripada peristiwa Israk dan Mikraj seperti yang diceritakan dalam surah Al-Israk (17: 1), yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Berikutan peristiwa itu, orang kafir Makkah menghasut orang Islam dengan mengatakan mustahil manusia boleh naik ke langit sehinggalah ramai yang murtad. Dikisahkan, Rasulullah diperintahkan untuk membuktikan manusia boleh naik ke langit, maka dikumpulkan orang (di masjid), kemudian Baginda duduk menyandarkan belakangnya serta meminta semua orang bertanyakan apa yang boleh meyakinkan mereka. Ramailah yang bertanya apa yang ada di sepanjang jalan antara kedua-dua tempat itu dan Baginda pula memberi jawapan yang tepat tanpa pergi secara fizikal.

Akhirnya mereka mengakui kebenaran Rasulullah kerana orang yang tinggal di situ pun tidak mampu menjawab berapa jumlah anak tangga masjid berkenaan. Golongan yang murtad kembali kepada Islam dan bertambah ramai orang kafir memeluk Islam.

Kaedah tidur sudah digunakan Ibnu Sina bagi membedah orang tanpa bius. Ketika zaman yang tiada elektrik dan sinar-X, beliau menggunakan kaedah ini untuk mengesan sakit dalam perut dan bahagian mana perlu dibedah. Alat pembedahan dan rajah anatomi badan yang dilukis diterima sehingga sekarang dan beliau mendapat gelaran Bapa Perubatan Moden.

Mengikut Islam, manusia terdiri daripada tiga unsur atau entiti iaitu jasad, nyawa dan roh. Analogi jasad kepada roh adalah seperti baju yang disarung ke badan. Badan boleh bertukar baju, begitu juga roh dan jasad. Semuanya ini dijelaskan dalam al-Quran. Nyawa telah sedia ada mengikut sperma, menjadi janin dan membentuk jasad. Sehingga dua bulan baru ditiupkan dan dimasukkan roh. Sebab itulah haram menggugurkan kandungan setelah berusia dua bulan.

Abdul Hamid berkata, roh boleh keluar masuk dari jasad, tetapi jika keluar nyawa, matilah jasad. Cara paling mudah untuk kita keluar dari jasad seperti yang diajar Rasulullah ialah dengan tidur, tetapi mengekalkan kesedaran kita.

Katanya, tidak semua mimpi pergi ke satu tempat itu mainan tidur, tetapi sebenarnya memang kita sudah pergi ke situ secara tidak sedar.

"Sebab itulah ia dinamakan kaedah tidur. Kajian dan analisis sains dan matematik moden yang dikembangkan Barat menjelaskan perkara ini dengan lebih terperinci. Pemikiran adalah sesuatu yang kita tidak nampak, tetapi ia diimejkan pada otak. Pemikiran manusia terbahagi kepada tiga peringkat utama iaitu sedar, separuh sedar dan bawah sedar (atau tidak sedar). Dalam dunia gelombang atau frekuensi, ia dirujuk sebagai peringkat gamma dan beta untuk sedar, alpha dan theta untuk separuh sedar dan delta untuk bawah sedar.

Kajian sains membuktikan perkara ini dan sekali gus menjadikan mimpi sebagai satu subjek utama dalam sains. Hipnosis dalam pengajian Barat tidak sampai ke peringkat roh keluar dari badan.

Pukau

Kaedah pukau berbeza dengan hipnosis. Pukau adalah sebahagian daripada sihir dan ia akan membabitkan makhluk halus seperti jin, iblis dan syaitan.

Mengikut amalannya, makhluk halus (jin) akan masuk ke dalam badan mengambil tempat roh yang mana roh akan 'ditekan' ke bawah dan jin mengambil alih mengawal badan dengan menggunakan jasad.

Menurut Abdul Hamid, kesedaran subjek atau mangsa bergantung kepada tahap kekuatannya menghadapi jin berkenaan. Misalnya, 80 peratus menyebabkan mangsa sedar apa berlaku, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Sebab itu subjek tidak sedar apa yang dilakukannya, seperti yang dapat dilihat dalam kes histeria dan rasukan.

"Berbeza dengan hipnosis atau kaedah tidur, ia tidak menggunakan sebarang bentuk bantuan makhluk halus seperti jin, tetapi boleh menggunakan bantuan lain seperti teknikal, muzik dan video," katanya.

Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias


Informasi dikongsi oleh

Comments
0 Comments

0 comments:


1)SILA KLIK BUTTON LIKE DIBAWAH
2)SELEPAS LIKE, KLIK SUPPORT US! UNTUK TERUSKAN...





Powered By IMuslimNetwork
Support Us!